Saturday 14 December 2013

Semestar 1 2013/2014 Hampir Berakhir

Pembelajaran sesi 2012/2013 semestar 2 adalah pengalaman pertama saya menjadi seorang tutor. Itupun sebab dapat tajaan SBUM (Skim Biasiswa Universiti Malaya). Sekali lagi permintaan supaya saya terus menjadi tutor di jabatan bagi sesi 2013/2014 semestar 1. Walaupun jauh di sudut hati rasa terpaksa namun pujuk diri supaya ikhlas menggalas tanggungjawab tersebut. Alhamdulillah, pengalaman menjadi tutor banyak membuatkan saya belajar. Dan saya percaya ini adalah perancangan Allah yang sangat baik untuk hambaNya dan saya bersyukur atas kurniaan pengalaman ini.

Entri ini ditulis hasil dorongan selepas membaca nukilan oleh seorang cendekiawan; Imam 'Abd Allah bin al-Mubarak yang menyebutkan: "Aku mempelajari adab selama 30 tahun, dan aku mempelajari ilmu selama 20 tahun, adalah mereka yang terdahulu mempelajari adab sebelum ilmu." [lihat didalam Kitab: Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra'].

Apa yang telah disebutkan oleh al-Imam sangat membuatkan saya tersentuh dan sedar sejauh mana kita sebagai seorang pelajar telah mengambil perhatian berkenaan adab. Menjaga adab-adab ini bukan hanya ketika kita bergelar seorang pelajar sahaja malah ianya mesti berterusan hingga ke akhir hayat kita. 

Dalam entri ini saya tidak berhajat untuk menghuraikan kesemua adab-adab dalam menuntut ilmu. Akan tetapi hanya beberapa perkara yang ingin dikongikan kesinambungan daripada pengalaman saya menjadi seorang tutor seperti saya sebutkan di atas tadi.

Pertamanya iktibar daripada budaya pelajar yang selamber masuk ke kelas lewat. Sebahagian pelajar yang masuk lewat ke kelas langsung tidak ada rasa serba salah atau malu kerana kehadirannya yang lewat telah menggangu proses pembelajaran yang sedang berjalan. Sewajarnya pelajar meminta maaf kepada pengajar dan menyatakan sebab keterlewatannya dan tidak masuk dalam keadaan yang bising sehingga menarik perhatian. Contoh, kelas yang sepatutnya bermula jam 9.00 am, pada jam 9.05am hanya 5-7 pelajar sahaja yang ada di dalam kelas. Pengajar pula yang perlu menuggu pelajarnya. hmmm...

Seterusnya, jaga adab ketika pengajar telah masuk ke kelas. Perhatian perlu terus di berikan kepada proses pembelajaran yang akan berlangsung. Hentikan bualan-bualan kosong dengan suasana yang hingar-bingar seolah-olah kehadiran pengajar itu hanya seperti rakan-rakan biasa kita saja. Berhenti daripada aktiviti makan dan minum. Meskipun kita telah berasa cukup letih dengan kelas yang tidak henti-henti seawal pagi. Bukan terus makan, walaupun sesi pembelajaran telah bermula. Tidak ada langsung rasa untuk makan secara sembunyi agar tindakan kita itu tidak diketahui oleh pengajar meskipun terlalu lapar. Hal ini perlu dititikberatkan. Sekalipun kita hanya memakan gula-gula.

Begitu juga tidak perlu membelek-belek handset, ipad, tablet, laptop atau seumpamanya ketika perbincangan dalam kelas sedang dijalankan. Masing-masing scroll down...scroll up post2 yang diupdate ke dalam facebook, mem-view, meng-like, mengomen aplikasi instagram, ber'sms' dan macam-macam lagi. Amalan ini sepatutnya di ambil perhatian dan tidak menjadi kebiasaan pelajar. Sekiranya ini menjadi kebiasaan, bagaimana mungkin pelajar boleh memberi fokus ketika dalam perbincangan. Begitu juga dengan tindakan atau aktiviti-aktiviti lain yang tidak wajar dilakukan ketika di dalam kelas.

Satu perkara lagi yang sewajarnya perlu diambil perhatian ialah menghormati guru. Adalah menjadi kewajipan seorang pelajar menghormati gurunya. Walaupun apa pun kedudukan orang yang mengajarkan kita wajar untuk kita hormati. Kerana itu adalah hak mereka. Kita perlu sentiasa menjaga tutur kata ketika di dalam kelas, memberi salam ketika di luar kelas, berterima kasih atas setiap pelajaran yang diberikan. 

Sabda Nabi s.a.w :

لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ

Yang bermaksud : “Bukan termasuk umatku siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang ‘alim” 
(Hadis riwayat Imam Ahmad).

Ini adalah perkara yang erlu dikoreksi..belajar daripada pengalaman untuk menjadikan hari-hari mendatang yang kita lalui adalah yang lebih baik.. Saya percaya setiap orang pasti menginginkan kehidupan yang baik, mengecapi kejayaan yang cemerlang. Tidak ada yang mengharapkan nilai-nilai kehidupan yang hanya merugikan dirinya sendiri. Justeru, untuk mencapainya perlu kepada usaha. dan mujahadah yang tinggi. Mana ada untuk memperolehnya semudah makan pisang goreng saja. Teringat saya dengan syair Imam al-shafie di dalam Diwannya:


تَبْغي النَّجَاةَ وَلَمْ تَسْلُكْ طَرِيقَتَهَا ** إنَّ السَّفِينَةَ لاَ تَجْرِي عَلَى اليَبَسِ 

Engkau menghendaki kejayaan namun engkau tidak menempuh jalannya ** Sesungguhnya perahu tidak berjalan diatas padang pasir...

Ayuh!! kita terus bersemangat untuk meraih kehidupan yang lebih baik. Terus dan jangan sampai berhenti daripada bergantung harap dengan Allah SWT. Belajar dan terus belajar sepanjang perjalanan kehidupan. Ambil ibrah daripada perkara dan kejadian yang berlaku disekeliling kita. Nilai dengan ilmu bukan hawa nafsu. Semoga hari-hari yang dilalui membuatkan kita semakin dengan dekat dengan-Nya.

..اللهم يسر أمورنا ودبر لنا خيرها


Saturday 29 June 2013

Belajar Daripada Proses Kehidupan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, bersyukur atas segala nikmat..nikmat Iman, Islam, sihat, sakit, bahagia, gembira ujian dan semua yang telah ditetapkan dalam kehidupan. Kerana semua ketetapan ini akan menyebabkan kebergantungan kita kepada Allah tidak akan pernah putus.. Allahuakbar! Sentiasa mengharapkan Allah masih terus memimpin kita meskipun orang disekeliling tidak menghiraukan. Jangan EGO!

يا حي يا قيوم برحمتك أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين

Perjalanan kehidupan kita merupakan suatu proses pembelajaran. Yang mana proses ini memerlukan kesungguhan untuk terus mengerti, kesabaran dalam berusaha untuk memahami. Mudah-mudahan, kita sentisa diberi kekuatan, didorong iman, dipandu petunjuk Tuhan (اللهم اهدنا).

Mengambil pengajaran daripada apa pernah dialami. Meskipun jauh di sudut hati, pahit untuk diterima, malu untuk berhadapan dan berbagai macam rasa pastinya.Tapi inilah proses belajar. Proses belajar itu memerlukan semangat dan motivasi yang tinggi dan sentiasa berterusan. 

Keinginan dalam diri seseorang yang tinggi akan memaksa agar semangat & motivasi sentiasa wujud. Tidak ada orang disekeliling yang mampu membangkitkan semangat dan motivasi itu??? Jangan duduk diam. Kita yang perlu bergerak mencari! Jangan tunggu dan hanya tunggu 'mana perginya semangat nih?' Buang masa saja. 

Orang yang nak belajar dan tidak takut dengan kesilapannya yang lalu adalah orang yang berani. Ya, orang yang berani! Berhadapan dengan pelbagai perancangan yang diaturnya dan inisiatif yang tersusun. Cuba dan terus mencuba. Kalau gagal itu proses biasa. 

Sesungguhnya, perancangan Allah itulah yang terbaik.. Kita masih dan mesti terus berusaha..

Allahu Musta'an 



# tulisan ini dari budak baru belajar mencoret,huhu perlu biasakan diri menulis dan banyak membaca. supaya kita banyak mendapat input dan memberi input, :) #


Ummi Farahin Yasin

Friday 29 June 2012

Penduduk Awal Madinah

     
         Mengikut rekod sejarah, orang yang pertama membuka Madinah selepas banjir besar di zaman Nabi Nuh a. ialah Yathrib bin Qaniah bin Musa Bail bin Iram bin Obail daripada keturunan Nabi Nuh a.s. Manakala yang mula-mula membuka penempatan ladang-ladang pertanian pua ialah 'Amalek Bani 'Imlak daripada keturunan Sam bin Nuh. 

         Sebelum hijrah, Madinah yang dikenli sebagai Yathrib, didiami oleh tiga kaum yang utama iaitu Yahudi, Aus dan Khazraj.Yahudi merupakan golongan yng menguasai sebahagian besar ekonomi Madinah pada masa itu. Ketiga-tiga kaum ini sentiasa berselisih faham dan berperang sesama sendiri sehingga hijrahnya Rasulullah SAW yang membawa kepada keamanan dan keadilan.

(Dr Abdul Basit Abd Rahman: Madinah Munawwarah; Kelebihan dan Sejarah)

Orang Yang Paling Bermanfaat & Paling Berbahaya

Manusia yang paling berguna bagi anda adalah orang yang anda mengenalnya, sehingga anda dapat menanamkan kebaikan kepadanya, sebenarnya dia itu adalah penolong terbaik bagi anda dan sangat bermanfaat demi menuju kesempurnaan anda. manfaat yang anda berikan kepadanya sebenarnya sama dengan manfaat yang dia berikan kepadamu atau lebih banyak. 

Sedangkan manusia yang paling buruk bagi anda adalah orang yang anda mengenalinya, sehingga anda berbuat jahat kepadanya, sebenarnya dia menolong anda untuk berbuat derhaka dan maksiat.

( Al-Fawaid: Ibn Qayyim al-Jauzi )